Friday, May 23, 2008

Robert Kuok terus dahului senarai paling kaya Malaysia

SINGAPURA: Taikun Malaysia, Tan Sri Robert Kuok terus mengekalkan kedudukannya mendahului individu terkaya Malaysia dalam senarai orang terkaya terbaru oleh Forbes Asia.


Menurut Forbes Asia, Kuok, 84, yang memiliki banyak perniagaan, termasuk hartanah di Hong Kong dan kepentingan media, dan paling ketara ialah gergasi minyak sawit Wilmar, meningkatkan nilai bersihnya daripada AS$2.4 bilion tahun lalu untuk mencecah AS$10 bilion.

Senarai terbaru ini turut menyaksikan Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Corp menyertai kelab bilionair, kata Forbes Asia dalam satu kenyataan hari ini.

Terdapat 10 bilionair dalam senarai tahun ini.

Tan, yang naik dari tangga ke-14 ke tempat kesembilan, mempunyai nilai bersih AS$1.3 bilion, menambah hampir AS$1 bilion dari tahun lalu.

Forbes Asia berkata, syarikat Tan, Berjaya Corporation, menongkah arus dengan harga sahamnya mengembang hampir tiga kali ganda sejak 12 bulan lalu.

Tan menguasai lebih AS$4 bilion — dengan jualan yang digabungkan — rangkaian perusahaan membabitkan industri seperti pertaruhan/perjudian, media, telekom, produk pengguna dan runcit serta hartanah.

Masih kekal di tempat kedua ialah Ananda Krishnan yang menerajui syarikat telekomunikasi, Maxis.

Tetapi kekayaannya menurun kepada AS$7.2 bilion, iaitu kurang ASS$200 juta daripada tahun lalu.

Individu ketiga terkaya dalam senarai ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan IOI Corporation, Tan Sri Lee Shin Cheng yang menduduki rangking keempat tahun lalu, tetapi dengan melonjaknya gergasi perladangan kelapa sawit dari segi nilai, kekayaannya meningkat daripada AS$1.6 bilion kepada AS$5.5 bilion, kata Forbes Asia.

Kemasukan baru paling tinggi ialah Puan Sri Lee Kim Hua, balu kepada taikun perjudian terkenal, Tan Sri Lim Goh Tong yang berada di tempat ketiga tahun lalu, tetapi meninggal dunia pada Oktober.

Beliau dan keluarganya bernilai AS$3.4 bilion dan menduduki tempat kelima.

Malah, anaknya Tan Sri Lim Kok Thay, yang menguruskan Genting, yang disenaraikan secara persendirian dengan AS$345 juta, menduduki tempat ke-15.

Lee adalah antara tiga wanita dalam senarai, bersama-sama dengan Pengerusi Selangor Properties, Puan Sri Chong Chook Yew, di tempat ke-24 (AS$245 juta), dan anakanda perempuan Sultan Perak, Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah, di tempat ke-35 (AS$150 juta).

Antara pendatang baru ialah Datuk Nazir Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB yang juga anak lelaki bongsu Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Nazir berjaya mendapatkan tempat ke-40 sebagai individu terakhir terkaya Malaysia dalam senarai 40 senarai terkaya Forbes Asia dengan nilai bersih AS$100 juta.

Kekayaan secara kolektif semua 40 individu terkaya ialah AS$46 bilion, meningkat AS$3 bilion daripada tahun lalu.

Sementara 16 individu berjaya menambah kekayaan mereka, 18 yang lain menyaksikan penurunan dengan tujuh daripada mereka kehilangan sekurang-kurangan satu perempat daripada kekakyaan mereka.

Tan Syed Mokhtar Al-Bukhary, taikun Melayu paling kaya dan seorang bilionair, turun satu anak tangga dari tempat ketujuh ke tempat kelapan selepas nilai bersihnya berkurangan sebanyak AS$200 juta kepada AS$1.8 bilion.

Senarai Individu Kaya muncul dalam terbitan 2 Jun Forbes Asia.



10 Individu terkaya di Malaysia:

1) Robert Kuok, AS$10 billion.

2) Ananda Krishnan, AS$7.2 billion.

3) Lee Shin Cheng, AS$5.5 billion.

4) Teh Hong Piow, AS$3.5 billion.

5) Lee Kim Hua & keluarga, AS$3.4 bilion.

6) Quek Leng Chan, AS$2.4 bilion.

7) Yeoh Tiong Lay & keluarga, AS$2.1 bilion.

8) Syed Mokhtar Al-Bukhary, AS$1.8 bilion.

9) Vincent Tan, AS$1.3 bilion.

10) Tiong Hiew King, AS$1.1 bilion. - Bernama

...Bile pulak kite nak join kelab nih...

No comments:

Post a Comment