Showing posts with label business. Show all posts
Showing posts with label business. Show all posts

Wednesday, September 24, 2008

5 Kunci Usahawan Berjaya - Irfan Khairi


MERANCANG DAN DAPATKAN HASIL

Saudara, tidak kira di mana sahaja di dunia, kebolehan merancang dan
mendapatkan hasil adalah tugasan yang paling berharga sekali. Tidak
kira dalam bidang politik, keluarga atau individu, merancang akan
dapat membuahkan hasil yang lebih teratur dan baik.

Begitu juga dalam perniagaan. Untuk menjadi usawahan yang berjaya,
kebolehan merancang dan mendapatkan keputusan adalah amat penting.
Sebelum memulakan apa sahaja perniagaan, satu perancangan yang
lengkap perlu diadakan (jangan nak main terjun sahaja!). Apabila
perniagaan sudah dimulakan, perancangan masih diperlukan dalam
menganalisa strategi pemasaran untuk mengembangkan perniagaan anda.
Apabila perniagaan anda sudah maju, perancangan masih diperlukan
untuk memastikan perniagaan anda mendapat pasaran terbesar dan
tidak diambil oleh pesaing anda!

Dalam setiap peringkat perniagaan, perancangan dimestikan dan tidak
pernah ditinggalkan oleh usahawan yang berjaya. Usahawan yang
berjaya akan sering Tanya pada diri sendiri:

- Apakah keputusan yang diinginkan dalam perniagaan ini?
- Bagaimana keputusan itu dapat dicapai?
- Siapa yang dapat membantu mengembangkan perniagaan ini?
- Apakah kebolehan atau ilmu tambahan yang saya perlukan untuk
mengembankan perniagaan ini?

Kebolehan anda untuk mendapatkan hasil dan bertanggungjawab atas
keputusan anda adalah tanda seorang usahawan yang gemilang.

BERI LEBIH DARIPADA APA YANG DISANGKAKAN

Kunci kejayaan sesuatu perniagaan adalah untuk melakukan lebih
daripada apa yang disangkakan. Bak kata mat salleh, "Go the extra
mile!". Maksudnya adalah untuk anda melakukan tugasan anda dalam
perniagaan lebih daripada apa yang disangkakan oleh orang lain.

Kebiasaannya, seorang pekerja hanya akan melakukan tugasannya
apabila disuruh. Pekerja akan melakukan kerja berdasarkan
pendapatan yang diterima. Tetapi, untuk menjadi usahawan yang
berjaya, menteliti sebagai "pekerja" tidak lagi boleh disimpan.

Pelanggan akan mengetahui bahawa anda sanggup bekerja ekstra untuk
memenangi hati mereka. Usahawan lain juga akan dapat melihat
peluang bekerjasama dengan anda oleh kerana anda berusaha
sekeras-kerasnya dalam perniagaan anda. Melakukan kerja lebih
daripada apa yang disangkakan akan membuka pintu rezeki kepada
perniagaan anda.

MEMASAR DAN MENJUAL!

Ini adalah kunci utama kejayaan sesuatu perniagaan- pemasaran dan
menjual! Tahukah anda bahawa lebih 95% perniagaan baru gagal dalam
tahun pertama ia ditubuhkan? Ya, statistik ini amat mengejutkan
bagi bakal-bakal usahawan. Namun, sekiranya anda mempunyai
ciri-ciri usahawan yang berjaya, ia dapat menjauhkan daripada
statistik ini.

Kebolehan memasar dan menjual apa yang anda niagakan adalah nadi
kepada apa jua jenis perniagaan. Kebolehan yang diperlukan adalah:

- Kebolehan berkomunikasi
- Kebolehan merunding
- Kebolehan memujuk pembeli membeli
- Kebolehan menjual produk atau perkhidmatan anda

Kunci kejayaan apa jua perniagaan adalah jualan dan keuntungan yang
tinggi. Tanpa kebolehan "menjual", matlamat sesuatu perniagaan
tidak dapat dicapai. Aliran wang (cash flow) adalah amat penting
dalam perniagaan dan aliran wang hanya akan diperolehi melalui
menjual produk dan perkhidmatan anda.

Oleh kerana menjual adalah amat penting dalam perniagaan, pelajari
kaedah-kaedah menjual melalui buku-buku, seminar perniagaan dan
juga seminar komunikasi.

Bertahun-tahun dulu, saya merupakan seorang yang agak pendiam dan
sukar berkomunikasi dengan sesiapa sahaja- apatah lagi menjual!
Ianya selepas saya memperbaiki kelemahan saya dalam komunikasi,
saya mula dapat melihat kejayaan dalam perniagaan saya berkembang
melalui pemasaran dan jualan yang meningkat. Dua tip dalam menjual:

1. Seseorang itu tidak dilahirkan boleh menjual! Menjual adalah
suatu kebolehan yang boleh dipelajari. Seperti menunggang basikal,
ianya agak sukar pada peringkat awal. Tetapi, apabila berkali-kali
melakukan perkara yang sama, ia menjadi semakin mudah.

2. Komunikasi adalah penting dalam perniaagaan. Namun,
berkomunikasi bukan sekadar maksudnya banyak bercakap! Tetapi juga
untuk bijak mendengar. 85% kejayaan anda adalah bergantung kepada
mereka disekeliling anda. Pelajari kaedah berkomunikasi, mendengar,
memujuk, persembahan untuk mendapat kerjasama dari pelbagai pihak
dalam membantu menjayakan perniagaan anda.

FAHAMI ANGKA PERNIAGAAN

Di mana kebolehan utama seseorang usahawan yang berjaya seperti yang
telah dibincangkan adalah yang melibatkan apa yang dapat dilihat
oleh orang ramai, namun jangan sesekali mengabaikan perkara-perkara
yang tidak dapat dilihat oleh orang ramai- iaitu angka-angka
perniagaan anda!

Kebanyakan usahawan lebih fokus kepada strategi memajukan
perniagaan dengan memberi tumpuan kepada pekerja, pelanggan,
produk, perkhidmatan dan pemasaran sehinggakan melupakan isu
penting iaitu penyata kewangan.

Anda tidak perlu menjadi pakar dalam bidang perakaunan, tetapi, apa
yang penting adalah untuk anda fahami penyata kewangan anda.
Tugasan mengurus penyata kewangan boleh diagihkan kepada mereka
yang lebih bertauliah. Namun, sebagai usahawan yang berjaya, anda
perlu memahami pengiraan wang dalam penyata kewangan anda supaya
wang yang masuk tidak menjadi wang keluar sehingga menjejaskan
keuntungan keseluruhan perniagaan anda!

TIDAK PUTUS ASA MENCUBA

Saudara, seperti yag dikatakan sebelum ini, 95% perniagaan akan
gagal. Ini bermaksud, anda hanya mempunyai 5% peluang untuk berjaya!
Sedih bunyinya bukan? Kunci terkahir adalah tidak berputus asa!

Anda kenali manusia terkaya didunia, Bill Gates. Tahukah anda
bagaimana beliau menjadi manusia terkaya dalam perniagaannya yang
boleh dikatakan yang paling berjaya di dunia?

Pada ketika ini sahaja Microsoft sedang membangunkan dan menguji
lebih darpada 1,600 produk dan perkhidmatan yang belum lagi
dipasarkan di mana kebanyakannya tidak akan dipasarkan pun dan
dikira sebagai projek gagal. Mengapa begini? Microsoft tahu bahawa
lebih banyak mencuba, maka lebih banyak peluang menjumpai kejayaan.

Usahawan yang berjaya adalah mereka yang tidak putus asa dalam
usahanya untuk menjumpai 5% peluang kejayaan itu.

Walaupun dikatakan 9/10 rezeki datangnya dari perniagaan, rezeki
tersebut tidak akan tercapai sekiranya anda tidak mendalami ilmu
perniagaan. Ambil langkah demi langkah dan pelajari selok belok
perniagaan. Kejayaan perniagaan akan datang kepada anda sekiranya
anda mendalami ilmunya.

-Irfan Khairi

http://www.rahsiainternet.com

Tuesday, September 23, 2008

Strategi perniagaan unta Abdul Rahman bin Auf


Pada satu ketika dahulu, sahabat Rasulullah, Abdul Rahman bin Auf
adalah usahawan termasyur. Antara perniagaannya adalah menjual
unta. Beliau mempunyai satu strategi sehingga mendominasikan
pasaran unta, dimana pada sebelum itu pasaran dimiliki oleh
usahawan-usahawan Yahudi.

Strateginya? unta-unta beliau dijual pada harga cost price (harga
kos)- tiada untung! Semua yang ingin membeli unta akan pergi ke
Abdul Rahman b Auf.

Tiada untung dalam menjual unta? Habis tu, macam mana nak berniaga?

Apabila ditanya, jawabnya...

Keuntungan tidak diambil dari hasil penjualan unta. Unta dijual
pada harga kos. Tetapi, keuntungan diambil dari menjual "tali
pengikat unta". Di situlah datangnya keuntungan. Diceritakan bahawa
tali-tali yang dijual adalah cantik dan bermacam-macam warna.

Hebat!

Saudara, strategi ini walaupun telah dilakukan pada zaman
Rasulullah, kalau di lihat zaman ini, banyak perniagaan menggunakan
kaedah yang sama. Air Asia adalah antara yang menggunakan kaedah ini.
Cuba fikirkan bagaimana Air Asia mengenakan tambang rendah (ada yang
pada RM0), dan mengenakan bayaran pada produk dan perkhidmatan lain.
Hmmm... nampaknya kaedah Air Asia bukanlah kaedah yang baru ;)

- Irfan Khairi

Friday, May 23, 2008

Robert Kuok terus dahului senarai paling kaya Malaysia

SINGAPURA: Taikun Malaysia, Tan Sri Robert Kuok terus mengekalkan kedudukannya mendahului individu terkaya Malaysia dalam senarai orang terkaya terbaru oleh Forbes Asia.


Menurut Forbes Asia, Kuok, 84, yang memiliki banyak perniagaan, termasuk hartanah di Hong Kong dan kepentingan media, dan paling ketara ialah gergasi minyak sawit Wilmar, meningkatkan nilai bersihnya daripada AS$2.4 bilion tahun lalu untuk mencecah AS$10 bilion.

Senarai terbaru ini turut menyaksikan Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Corp menyertai kelab bilionair, kata Forbes Asia dalam satu kenyataan hari ini.

Terdapat 10 bilionair dalam senarai tahun ini.

Tan, yang naik dari tangga ke-14 ke tempat kesembilan, mempunyai nilai bersih AS$1.3 bilion, menambah hampir AS$1 bilion dari tahun lalu.

Forbes Asia berkata, syarikat Tan, Berjaya Corporation, menongkah arus dengan harga sahamnya mengembang hampir tiga kali ganda sejak 12 bulan lalu.

Tan menguasai lebih AS$4 bilion — dengan jualan yang digabungkan — rangkaian perusahaan membabitkan industri seperti pertaruhan/perjudian, media, telekom, produk pengguna dan runcit serta hartanah.

Masih kekal di tempat kedua ialah Ananda Krishnan yang menerajui syarikat telekomunikasi, Maxis.

Tetapi kekayaannya menurun kepada AS$7.2 bilion, iaitu kurang ASS$200 juta daripada tahun lalu.

Individu ketiga terkaya dalam senarai ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan IOI Corporation, Tan Sri Lee Shin Cheng yang menduduki rangking keempat tahun lalu, tetapi dengan melonjaknya gergasi perladangan kelapa sawit dari segi nilai, kekayaannya meningkat daripada AS$1.6 bilion kepada AS$5.5 bilion, kata Forbes Asia.

Kemasukan baru paling tinggi ialah Puan Sri Lee Kim Hua, balu kepada taikun perjudian terkenal, Tan Sri Lim Goh Tong yang berada di tempat ketiga tahun lalu, tetapi meninggal dunia pada Oktober.

Beliau dan keluarganya bernilai AS$3.4 bilion dan menduduki tempat kelima.

Malah, anaknya Tan Sri Lim Kok Thay, yang menguruskan Genting, yang disenaraikan secara persendirian dengan AS$345 juta, menduduki tempat ke-15.

Lee adalah antara tiga wanita dalam senarai, bersama-sama dengan Pengerusi Selangor Properties, Puan Sri Chong Chook Yew, di tempat ke-24 (AS$245 juta), dan anakanda perempuan Sultan Perak, Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah, di tempat ke-35 (AS$150 juta).

Antara pendatang baru ialah Datuk Nazir Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB yang juga anak lelaki bongsu Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Nazir berjaya mendapatkan tempat ke-40 sebagai individu terakhir terkaya Malaysia dalam senarai 40 senarai terkaya Forbes Asia dengan nilai bersih AS$100 juta.

Kekayaan secara kolektif semua 40 individu terkaya ialah AS$46 bilion, meningkat AS$3 bilion daripada tahun lalu.

Sementara 16 individu berjaya menambah kekayaan mereka, 18 yang lain menyaksikan penurunan dengan tujuh daripada mereka kehilangan sekurang-kurangan satu perempat daripada kekakyaan mereka.

Tan Syed Mokhtar Al-Bukhary, taikun Melayu paling kaya dan seorang bilionair, turun satu anak tangga dari tempat ketujuh ke tempat kelapan selepas nilai bersihnya berkurangan sebanyak AS$200 juta kepada AS$1.8 bilion.

Senarai Individu Kaya muncul dalam terbitan 2 Jun Forbes Asia.



10 Individu terkaya di Malaysia:

1) Robert Kuok, AS$10 billion.

2) Ananda Krishnan, AS$7.2 billion.

3) Lee Shin Cheng, AS$5.5 billion.

4) Teh Hong Piow, AS$3.5 billion.

5) Lee Kim Hua & keluarga, AS$3.4 bilion.

6) Quek Leng Chan, AS$2.4 bilion.

7) Yeoh Tiong Lay & keluarga, AS$2.1 bilion.

8) Syed Mokhtar Al-Bukhary, AS$1.8 bilion.

9) Vincent Tan, AS$1.3 bilion.

10) Tiong Hiew King, AS$1.1 bilion. - Bernama

...Bile pulak kite nak join kelab nih...

Friday, January 11, 2008

Syed Mokhtar: Pesanan ibu bawa berkat



Puan Sri Sharifah Zarah Albukhary memegang pingat Tokoh Maal Hijrah Tahun 1429H yang diterima suaminya, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya, semalam. – Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI.





Syed Mokhtar: Pesanan ibu bawa berkat
Oleh HELMI MOHD FOAD, Utusan Online.
PUTRAJAYA 10 Jan. – Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, 56, yang diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 akan sentiasa mengingati pesanan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Abdullah supaya menyumbangkan separuh daripada pendapatannya bagi membantu golongan kurang berkemampuan.
Beliau berkata, separuh daripada pendapatan pertama ketika membantu bapanya, Syed Nor Albukhary berniaga lembu sebanyak RM1,500 ketika tahun 60-an telah diserahkan kepada ibunya yang kemudian memintanya mengagihkan wang itu kepada 15 keluarga miskin di Alor Star, Kedah.
‘‘Saya guna pesanan ibu itu supaya separuh daripada pendapatan diberikan kepada orang kurang mampu, itulah yang telah memberikan saya keinsafan.
‘‘Malah sampai sekarang, sumbangan kepada 15 keluarga tersebut terus diberikan, kalau yang meninggal dunia diganti dengan orang lain.
‘‘Tuhan sudah memberikan segala nikmat, semuanya saya dah rasa, apa lagi yang kita mahu, maka nikmat itu perlu digunakan bagi faedah kepada orang ramai terutama pelajaran,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1429 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Melalui anugerah tersebut, Syed Mokhtar yang juga Pengerusi Yayasan Albukhary menerima hadiah wang tunai sejumlah RM60,000 yang disumbangkan oleh kerajaan manakala RM20,000 lagi oleh Yayasan Ubaidi.
Perniagaan
Syed Mokhtar yang berasal dari sebuah keluarga Arab Hadhrami kurang berkemampuan di Alor Star kini merupakan ahli perniagaan bumiputera terkaya di negara ini dengan harta bernilai RM4.16 bilion sebagaimana dinyatakan dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes 2007.
Syarikat Kumpulan Albukhary yang dibangunkan oleh beliau kini terbabit dalam beberapa industri utama negara antaranya pengangkutan, logistik, utiliti, automotif, pertahanan, makanan dan perbankan Islam serta kewangan.
Kumpulan tersebut menubuhkan Yayasan Albukhary pada 1996 sebagai sayap kerja-kerja kebajikan dan menyalurkan dana bagi kerja-kerja amal yang kini berkembang sebagai entiti amal global antaranya penubuhan Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Program Biasiswa Albukhary.
Sehingga 2006, yayasan tersebut menyumbang hampir RM1 bilion secara langsung kepada usaha kebajikan termasuk menyertai proses membina semula kehidupan pelarian Afghanistan, bantuan mangsa gempa di Pakistan dan Iran serta mangsa bencana tsunami di Aceh, Indonesia.
Selain itu, yayasan tersebut sedang berusaha menubuhkan hospital AIDS di Uganda, membantu kanak-kanak jalanan di Afrika dan merintis program bantuan kemanusiaan bagi mangsa perang di Iraq dan Lebanon.
Menurut Syed Mokhtar, mengenangkan kejayaan yang dicapainya sekarang daripada pesanan seorang ibu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta beliau menyerahkan hadiah wang tunai yang diterimanya itu kepada ibunya.
‘‘Saya tanya pada Pak Lah nak buat apa dengan duit RM80,000 ini, dia kata bagilah kepada ibu kerana dari situlah asal saya,” katanya.
Kejayaan
Syed Mokhtar yang mengakui inilah kali pertama beliau mendedahkan kisah hidupnya kepada media berkata, meskipun telah mengecapi kejayaan, beliau sebenarnya hanya sekadar manusia biasa dan Yang Maha Kaya itu adalah Allah.
‘‘Daripada keinsafan itu, kita cari rezeki macam tidak ada hari esok, saya usahakan sejak dari tahun 60-an dan telah melalui kepayahan dan kesakitan.
‘‘Dan sehingga hari ini syarikat lori dan beras yang merupakan perniagaan awal saya di Kedah masih terus beroperasi.
‘‘Saya adalah anak kelahiran Dasar Ekonomi Baru (DEB), melalui bantuan Mara serta UDA saya mengembangkan perniagaan tetapi melalui proses pahit maungnya dahulu,” katanya.
Jelas beliau, apabila mendapat rezeki yang banyak, ia digunakan untuk kebajikan lebih 67,700 kakitangan Kumpulan Albukhary dan selebihnya bagi membantu golongan kurang berkemampuan.
Syed Mokhtar berkata, kesempitan kewangan ketika zaman kanak-kanak sehingga tidak mampu membayar yuran peperiksaan menyebabkan beliau kini berusaha membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk mendapat peluang pelajaran.
‘‘Saya bersekolah setakat tingkatan lima tapi tak sempat ambil peperiksaan kerana tidak mampu bayar yuran.
‘‘Jadi, mengenangkan dulu saya tidak ada peluang, bila saya dapat peluang dalam perniagaan saya fikir kena beri peluang pendidikan kepada mereka yang tidak mampu,” katanya.
Katanya, aktiviti kebajikan melalui Yayasan Albukhary diteruskan pula melalui pembinaan Kompleks Albukhary di Alor Star yang berkonsepkan pondok moden dengan dilengkapi masjid, rumah anak-anak yatim dan sekolah.
Selain itu katanya, yayasan tersebut yang dijana oleh syarikat Kumpulan Albukhary turut menyediakan program tuisyen yang sehingga kini telah melibatkan 22,000 pelajar kurang berkemampuan sejak empat tahun lalu.
Tambahnya, pihaknya kini sedang membina Universiti Antarabangsa Albukhary yang dijangka siap penghujung 2009 sebagai tempat pelajar-pelajar cemerlang kurang berkemampuan itu untuk menyambung pelajaran.
‘‘Pelajar-pelajar kurang mampu itu kita beri peluang dengan kita gajikan guru untuk mengajar mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dan alhamdulillah kebanyakannya dapat maju ke depan,” katanya.
Katanya, hasil pesanan ibunya, beliau turut mengembangkan aktiviti kebajikan kepada masyarakat minoriti Islam yang tertindas dan miskin di luar negara dengan membawa pelajar-pelajar miskin tetapi cerdik untuk menyambung pelajaran di sini.
Setakat ini, katanya, seramai 372 orang pelajar dari 47 buah negara minoriti Islam sedang menimba ilmu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di bawah tajaan Yayasan Albukhary.
Yayasan berkenaan juga menaja umat Islam kurang berkemampuan dari segi kewangan bagi menunaikan ibadah haji serta memberikan bantuan pembinaan masjid-masjid termasuk membiayai projek membaik pulih Masjid Negara di ibu negara.
‘‘Usaha membaik pulih Masjid Negara timbul apabila satu malam saya ‘berpusing- pusing’ (meninjau) kawasan sekitar Muzium Kesenian Islam, saya dapati ia terang-benderang tetapi Masjid Negara gelap... macam mana boleh macam ini,” katanya.

Tuesday, July 3, 2007

MEMULAKAN PERNIAGAAN DENGAN MODAL MINIMA

Salam sejahtera,

Cuba fikirkan...

Masa kita kecik-kecik dulu, ketika itu zaman salah seorang sahaja ibu bapa kita bekerja. Selalunya bapa, ibu jadi suri rumah...

Zaman sekarang, lihat diri kita, abang atau kakak kita, zaman sudah berubah di mana kedua suami & isteri perlu bekerja untuk menampung keluarga akibat ekonomi meningkat...

Fikirkan apa akan jadi 5 tahun lagi, 10 tahun lagi, atau 20 tahun lagi... Bagaimana suami & isteri perlu menampung keluarga?

Pakar-pakar ekonomi berkata, dalam satu masa nanti, kesemua keluarga perlu memikirkan memulakan perniagaan secara "part-time" untuk menampung keluarga. Ini kerana, ekonomi semakin meningkat,harga barang semakin naik dan yang penting sekali, gaya hidup (lifestyle) turut meningkat.

Satu hari nanti, ia akan jadi amat sukar untuk hidup dengan hanya "makan gaji" kedua suami & isteri. Perniagaan secara sambilan dimestikan untuk membantu kewangan!

Sekiranya anda belum lagi memulakan perniagaan, fikirkan keadaan ini. Mulakan perancangan untuk memulakan perniagaan satu hari nanti. Artikel saya kali ini di bawah adalah mengenai memulakan perniagaan menggunakan modal yang minima. Mudah-mudahan anda mendapat manfaat daripadanya.

Antara kaedahnya adalah perniagaan Internet yang memeberi kebebasan memulakan perniagaan dari rumah dengan modal yang rendah disamping mendapat pelanggan seluruh dunia.

Salam hormat,

-Dr.Irfan Khairi



MEMULAKAN PERNIAGAAN DENGAN MODAL MINIMA
Oleh: Dr. Irfan Khairi

Saudara, dalam memulakan perniagaan, tidak semestinya modal yang besar diperlukan. Satu salah tanggap mengenai perniagaan adalah, memulakan apa sahaja perniagaan adalah berisiko tinggi oleh kerana modal yang diperlukan adalah besar.

Perniagaan Dell Computers, HP, Cadbury, Disney, Coffee Bean dan banyak lagi pada asalnya adalah perniagaan kecil yang dimulakan dengan modal yang minima. Apa yang mendorong perniagaan ini menjadi besar adalah passion dan usaha pemiliknya dalam memperluaskan perniagaan mereka sehingga menjadi gergasi industri masing-masing.

Terdapat berbagai-bagai kebaikan memulakan perniagaan pada kos yang rendah- saya sendiri juga dalam memulakan apa sahaja perniagaan akan mencari alternatif untuk mengurangkan modal perniagaan oleh kerana ia dapat mengurangkan risiko kehilangan modal!

Sekiranya anda ingin memulakan perniagaan, saya amat mengesyorkan pendekataan Bootstrap!

Apa itu Bootstrap?

Apa yang dimaksudkan oleh bootstrap adalah, anda jangan mengambil pinjaman modal dari mana-mana untuk memulakan perniagaan (tidak kira badan kewangan atau keluarga dan rakan-rakan).

Mulakan perniagaan anda dengan wang simpanan anda sendiri- mulakan perniagaan kecil-kecilan. Keuntungan yang anda terima dari perniagaan kecil anda, anda pusingkan kembali untuk memajukan dan mengembangkan perniagaan anda.

Ramai jutawan lahir dari pendekatan bootstrap apabila memulakan perniagaan. Ini adalah kerana, dengan menggunakan konsep bootstrap,anda akan lebih berhati-hati dengan wang yang dilaburkan. Anda juga akan lebih mempelajari dari usaha perniagaan anda. Ia juga akan memaksa anda menggunakan inovasi dan kreativiti dalam menguruskan perniagaan anda- mulakan kecil dan perlahan-lahan mengembangkan perniagaan anda dengan ilmu dan pengalaman yang dikumpulkan melalui bootstrap.

Ingin memulakan perniagaan dengan pinjaman RM30,000 - RM50,000? Ketahui bahawa lebih dari 90% perniagaan baru gagal dalam tahun pertama sahaja! Saranan saya: Bootstrap!

Berikut adalah beberapa peluang perniagaan yang menggunakan modal minima:

PERNIAGAAN INTERNET
===================
Memulakan perniagaan Internet adalah amat murah berbanding dengan perniagaan bukan Internet. Untuk menjalankan perniagaan bukan Internet, mungkin anda perlu membayar sewa bulanan RM1,000 (sewa tempat). Sekiranya anda menjalankan perniagaan Internet, "sewa" bulanan adalah cuma dalam lingkungan RM30- dan anda dapat mencapai pelanggan seluruh Malaysia, dan serata Dunia! Jumlah pengguna Internet seluruh Malaysia: 10 juta pengguna. Jumlah pengguna Internet sedunia: 1 billion pengguna!

Saya sering menekankan bahawa terdapat terlalu banyak peluang perniagaan Internet yang terbuka di Malaysia (gaps in the market) yang boleh di ambil oleh usahawan tempatan. Jangan tunggu lama-lama oleh kerana sesiapa sahaja mendapat pasaran pertama dan menjadi perintis dalam industri mereka akan berpeluang mendapat pasaran dan keuntungan yang paling besar!

Sekiranya ingin mempelajari cara memulakan perniagaan Internet dalam masa 7 hari, lawati http://www.rahsiainternet.com/workshop

PERNIAGAAN PESANAN POS
======================
Perniagaan pesanan pos telah dijalankan sejak tahun 1800 dan sehingga kini masih merupakan jenis perniagaan yang boleh dijalankan dari rumah yang agak lumayan sekiranya diimplemenkan dengan betul. Mail order dikatakan perniagaan jual beli yang dilakukan melalui pos (kebiasaannya pesanan mungkin melalui borang pesanan atau melalui telefon).

Michael Dell, usahawan Internet yang tidak asing lagi, sebenarnya mencapai status jutawan melalui perniagaan mail order, dan bukannya perniagaan Internet. Ketika beliau menjual komputer keluarannya sendiri "DELL", Internet belum lagi berkembang. Oleh itu, mail order menjadi pilihannya.

Di Malaysia, perniagaan mail order boleh menjadi perniagaan yang baik oleh kerana masih ramai lagi yang belum bersedia membuat pesanan menggunakan kad kredit secara online

Walaupun perniagaan cara ini tidak begitu popular dan kurang diperbincangkan jika dibandingkan dengan perniagaan Internet, jangan memandang rendah kebolehannya! Telah ramai jutawan-jutawan dilahirkan melalui perniagaan pesanan pos.

PERNIAGAAN JUALAN LANGSUNG
==========================
Perniagaan jualan langsung sudah tidak asing lagi di Malaysia. Ramai yang telah mengambil peluang menjalankan perniagaan dengan menyertai syarikat yang mengendalikan perniagaan melalui system jualan langsung dan ramai yang telah berjaya dalam perniagaan berbentuk ini.

Melalui jualan langsung, ahli syarikat jualan langsung mendapat komisyen daripada jualan produk-produk syarikat kepada orang ramai. Oleh kerana modal yang diperlukan dalam memulakan perniagaan ini adalah rendah, serta kemudahan dari segi material dan training yang efektif, perniagaan jaulan langsung telah meluas dengan pesatnya di Malaysia.

Oleh kerana kini syarikat jualan langsung tumbuh seperti cendawan selepas hujan, dalam menyertai syarikat yang mengendalikan system jualan langsung, ianya amat penting untuk mendapatkan syarikat yang mempunyai reputasi yang baik dalam melancarkan perniagaan anda.

PERNIAGAAN PERKHIDMATAN DARI RUMAH
==================================
Sekiranya anda berbakat dalam bidang-bidang tertentu, bakat
tersebut boleh dijadikan sebagai perniagaan dari rumah. Sebagai contoh, sekiranya berbakat dalam menjahit, anda boleh memulakan perkhidmatan menjahit dari rumah. Sekiranya anda berbakat dalam menjaga kanak-kanak, anda boleh menjalankan perniagaan menjaga kanak-kanak dari rumah.

Sekiranya anda berbakat dalam mengajar, anda boleh memulakan perkhidmatan tutor dari rumah. Sekiranya anda berbakat membuat kuih-muih, anda boleh memulakan perniagaan menempah kuih muih dari rumah.

Peluang perniagaan perkhidmatan dari rumah tidak terhad kepada bakat seseorang itu. Dengan memulakan perniagaan berbentuk perkhidmatan dari rumah, modal paling besar sekali iaitu modal premis dapat di elakkan.

Perniagaan perkhidmatan dari rumah kini semakin popular di Malaysia dengan makin ramai ibu-ibu yang ingin meluangkan masa di rumah bersama anak-anak. Sambil bersama anak di rumah, mereka juga dapat menjana pendapatan melalui bakat yang mereka ada.

*****

Memulakan perniagaan dengan modal yang minimum mempunyai pelbagai kebaikan dari segi risiko perniagaan dapat dikurangkan. Cara yang kian popular memulakan perniagaan dengan kos rendah adalah mencari peluang-peluang memulakan perniagaan dari rumah. Selain dari kebaikan dari segi kewanagn juga, perniagaan dari rumah dapat merapatkan lagi hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.

Dalam apa sahaja perniagaan, ilmu perniagaan amat penting untuk membantu anda berjaya dalam apa sahaja perniagaan. Insyaallah, dalam artikel-artikel saya yang akan datang, saya akan kongsikan dengan anda tips dan idea untuk membantu anda menjadi seorang usahawan yang berjaya tidak kira apa sahaja perniagaan yang anda jalankan, atau merancang untuk mulakan!

====================================================

Dr. Irfan Khairi adalah penulis buku "Rahsia Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar" dan penceramah/speaker pakar dalam bidang membina kekayaan & kejayaan. Untuk Maklumat lanjut, sila lawati www.rahsiainternet.com dan www.irfankhairi.com. Sekiranya ingin mendapatkan perkhidmatan beliau, hubungi Shah di 016-6966644