Saturday, July 14, 2007

"KEPENTINGAN ARAH KIBLAT DALAM IBADAT UMAT ISLAM"

"KEPENTINGAN ARAH KIBLAT DALAM IBADAT UMAT ISLAM"

Khutbah Jumaat - 18 MEI 2007
Source: http://www.jais.gov.my - Jabatan Agama Islam Selangor Powered by Mambo Generated: 26 May, 2007, 15:27

Sidang Jumaat yang dihormati Allah,

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketakwaan kehadrat Allah s.w.t dengan menunaikan segala perintahnya dan
menjauhkan diri daripada segala larangannya, mudah-mudahan kita tergolong didalam golongan orang yang sentiasa
bertakwa.

Sidang jumaat yang berbahagia,

Menghadapi arah kiblat adalah aspek penting dalam syarak dan ia merupakan antara syarat sah solat samada solat fardhu dan solat sunat. Demikian juga urusan pengebumian jenazah muslim serta lain-lain ibadat yang disunatkan menghadap kearah kiblat.Dalam solat seluruh tubuh badan seseorang hendaklah menghadapi kearah kaabah yang terletak dimakkaratul mukarramah.

Terdapat beberapa hukum yang berkaitan dengannya iaitu:-

Wajib menghadapi kearah kiblat ketika menunaikan solat fardhu atau sunat, melakukan tawaf di baitullah dan meletakkan jenazah didalam liang lahad.

Sunat menghadapi kearah kiblat ketika membaca al-quran,berdoa,berzikir,tidur dan lain-lain aktiviti harian yang berkaitan.

Haram menghadapi kearah kiblat ketika membuang air besar atau kecil. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang) maka hadapkanlah muka kamu kearah masjid al-haram (kaabah), dan dimana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu kearahnya, supaya tidak ada lagi sebarang alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim diantara mereka (ada sahaja
yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepadaku (semata-mata) dan supaya aku sempurnakan nikmatku kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (kepada perkara yang benar)".

Sidang jumaat yang dimuliakan,

Berijtihad menentukan arah kiblat adalah perlu dilakukan, bagi menyakini arah kiblat masjid, surau dan tempat-tempat yang hendak didirikan solat. Keempat-empat mazhab iaitu Khanafi,Maliki,Syafie dan Khanabali berpendapat, menghadap arah kiblat merupakan syarat sah solat. Bagi mazhab syafie terdapat tiga kaedah berhubung dengan syarat sah menghadap kiblat iaitu:


1- Bagi seseorang yang berada didalam masjidil haram samada nampak kaabah atau sebaliknya,maka wajib ia menghadap ke-kaabah dengan penuh yakin. Kewajipan tersebut boleh dipastikan dengan cara melihatnya atau menyentuh bagi orang cacat penglihatan atau dengan cara lain yang boleh dipastikan, asalkan ada keyakinan.Menentukan kiblat dengan cara ini dinamakan "Kiblat Yakin".

2- Bagi seseorang yang jauh dari Baitullah iaitu berada diluar Masjidil Haram dan sekitar tanah suci mekah, hendaklah menghadap ke-arah masjid secara zonni sahaja dan bergantung kepada ijtihadnya. Kaedah ini diketahu melalui pertanyaan kepada mereka yang berpengetahuan seperti penduduk mekah.Menentukan kibalat dengan cara ini dinamakan "Kiblat Zonni".

3- Bagi seseorang yang berada diluar tanah suci mekah hendaklah menghadap ke-arah tanah suci mekah dengan tujuan menghadap masjidil haram atau kaabah. Cara ini adalah memadai untuk melaksanakan tuntutan syarak ketika mendirikan solat dan ibadat-ibadat lain.Rasulullah s.a.w bersabda :

"Baitullah (Kaabah) adalah kiblat bagi orang-orang yang didalam masjid (Masjidil Haram) dan masjid (Masjidil Haram) adalah kiblat bagi orang-orang yang tinggal ditanah haram (mekah) dan tanah haram (mekah) adalah kiblat bagi seluruh penduduk bumi, timur dan baratnya dari umatku".

Dalam khutbah hari ini berbagai-bagai persoalan boleh ditimbulkan berkaitan arah kiblat iaitu :

Adakah pasti solat kita menghadap kiblat yang tepat?.

Adakah arah kiblat dirumah atau bilik solat pejabat kita betul?

Adakah kaedah yang kita gunakan selama hari ini betul seperti arah terbenamnya matahari?

Apabila membicarakan tentang arah kiblat, marilah sama-sama kita memikirkan keadaan-keadaan yang berlaku berkaitan arah kiblat:

1- Terdapat sebahagian surau-surau atau tempat solat yang telah dibina tanpa terlebih dahulu mendapat pengesahan arah kiblat daripada pihak berkuasa agama negeri. Apabila surau atau tempat solat telah siap dibina dan digunakan, maka timbullah pertikaian sesama jemaah sehinggakan ada yang tidak mahu datang solat berjemaah.

2- Terdapat juga pihak-pihak tertentu yang hanya mengukur sendiri arah kiblat berpandukan arah dikawasan lain. Perlu diingatkan disini bahawa arah kiblat disesebuah tempat adalah berbeza dengan tempat-tempat yang lain. Contohnya negeri selangor, arah kiblat secara umumnya ialah 292 darjat, yang membezakan setiap tempat adalah kepada nilai minitnya, contohnya nilai minit di shah alam 35 minit, manakala di sabak bernam ialah 19 minit.


Inilah perkara yang perlu dielakkan berlaku. Amalan ini tidak melambangkan tahap profesional dalam bekerja, surau yang dibina dengan harga beratus-ratus ribu malah mencecah jutaan ringgit, dengan ukiran seni binanya yang cantik, tetapi malang sekali, arah kiblat didalam dewan solat tidak tepat, ini memperlihatkan kelemahan imej agama kita.

Justeru, pihak-pihak yang terlibat dalam pembangunan surau atau masjid perlulah mengambil tanggungjawab penuh untuk memastikan arah kiblat ditentukan terlebih dahulu sebelum bangunan didirikan.

Perkara ini adalah amat penting dan perlu diberikan perhatian kerana sekiranya arah kiblat tidak diukur dengan tepat, maka kesannya amat besar, iaitu 1 darjah berganjak, maka terpesong dari kaabah sejauh lebih kurang 126 kilometer, manakala 1 minit berganjak akan terpesong sejauh lebih kurang 2 kilometer.

Kesan yang lain juga boleh menyebabkan ibadat solat yang akan didirikan setiap hari tidak mematuhi syarat-syarat sah solat antaranya ialah menghadap kiblat.

Sidang jumaat yang dihormati,

Betapa pentingnya arah kiblat dalam ibadat, maka minbar jumaat pada hari ini ingin menggesa seluruh umat islam dinegeri ini dapat menyemak kedudukan arah kiblat khususnya dirumah-rumah secara tradisional iaitu melalui 'Kaedah Istiwak matahari di kaabah" yang akan berlaku pada 28 Mei ini. Ia amat mudah dilaksanakan tanpa menggunakan sebarang kuasa.

Istiwak matahari atas kaabah atau dinamakan istiwak a'zam merupakan fenomena dimana matahari akan berada tepat diatas kaabah. Fenomena ini boleh dimanfaatkan untuk menyemak dan menentukan arah kiblat dari tempat-tempat lain dimuka bumi. Di Malaysia, istimewa akan berlaku dua kali setiap tahun iaitu pada ( 28 Mei, jam 5.16 petang) dan sekali lagi pada (16 Julai, jam 5.28 petang). Ini bukanlah bermaksud arah kiblat berubah dua tahun sekali. Kaabah tetap di
mekah al-mukarramah, cuma kita diberi peluang oleh allah s.w.t untuk menyemaknya secara tradisional.

Untuk melaksanakannya ;

1- Dirikan satu objek lurus seperti tiang atau kayu dikawasan lapang yang tidak terlindung daripada cahaya matahari.

2- Tetap pada masa tersebut, lihat kearah bayang objek berkenaan.

Oleh kerana matahari berada disebelah barat pada waktu petang , maka bayang objek akan jatuh kearah timur, untuk mengetahui arah kiblat, kita perlu melihat hujung bayang ke pangkal kayu/tiang, itulah arah ke kaabah (kiblat).

Untuk maklumat lanjut tuan-tuan boleh merujuk dengan pihak yang mempunyai kemahiran mengenainya atau berhubung dengan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Hadirin yang dihormati Allah,

Semoga kita dapat mengambil pengajaran bahawa amat penting bagi umat islam mengetahui kedudukan arah kiblat dengan tepat. Kita perlu mempelajari ilmu dan kaedah untuk menentukannya dengan bertanya kepada mereka yang berpengetahuan dan berkemahiran. Itu semua penting bagi menjamin kesempurnaan ibadat sembahyang serta mendapat ganjaran pahala daripada amalan-amalan seharian.

"Kerapkali kami melihat engkau (wahai muhammad), berulang-ulang ........ ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu kearah Masjidil Haram (tempat letaknya kaabah), dan dimana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu kearahnya".

Al-Baqarah ayat 144

Ya_Allah , engkaulah tuhan yang maha berkuasa, kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat islam khususnya negeri selangor, sebagai negeri yang maju dan sejahtera. Justeru kami pohon kehadratmu ya-allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami,kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budipekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami kejalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan,kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Source: http://www.jais.gov.my - Jabatan Agama Islam Selangor Powered by Mambo Generated:26 May, 2007, 15:27

No comments:

Post a Comment