Peranan pengguna bendung kenaikan harga
SEPERTI wujud pakatan bersama oleh sebahagian besar golongan
pemborong dan peruncit menaikkan harga barangan makanan dan
keperluan apabila menjelang musim perayaan bagi umat Islam di negara
ini.
Amat `melucukan' ketika Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu
mengumumkan tarikh bermulanya ibadat puasa ketika itulah juga pihak
pemborong dan peniaga menyuarakan hasrat untuk menaikkan harga
makanan pada hari pertama umat Islam berpuasa.
Keputusan lebih 1,000 ahli Persatuan Peniaga Ayam Itik Perak baru-
baru ini yang mahu menjual ayam melebihi harga siling dengan alasan
peningkatan kos bahan mentah ternakan menimbulkan satu persoalan:
Mengapa jika benar wujudnya keadaan sedemikian, mengapa harga itik
tidak pula mengalami kenaikan yang sama seperti harga ayam?
Tindakan pemborong yang dikatakan menjual ayam kepada golongan
peniaga melebihi daripada harga yang ditetapkan juga dijadikan
alasan peruncit untuk menaikkan harga. Pemborong kelihatan mahu
mengaut keuntungan berlebihan terutama pada musim perayaan.
Oleh itu, rantaian kenaikan harga bekalan makanan mestilah dibasmi
daripada peringkat akar umbi iaitu pembekal, pemborong atau
pengeluar lagi. Namun, tidak tahulah jika sengaja wujud pakatan di
antara mereka demi kepentingan ekonomi masing-masing!
Apa pun, peningkatan barangan keperluan menjelang musim perayaan
jelas satu tindakan yang mengambil kesempatan. Tentunya gejala ini
membebankan para pengguna terutamanya yang berpendapatan rendah dan
yang memiliki ahli keluarga yang ramai.
Peningkatan harga makanan tanpa diikuti dengan kenaikan pendapatan
yang sepadan menyebabkan mutu pemakanan majoriti penduduk negara ini
akan terjejas. Bebanan kewangan semakin meningkat seterusnya
menambahkan jurang ekonomi kalangan kelas masyarakat.
Mekanisme pemantauan kawalan harga perlu dikuatkuasakan agar tidak
berlaku sewenang-wenangnya kenaikan barangan keperluan dan makanan
termasuk 17 jenis barang kawalan di bawah Skim Kawalan Harga Musim
Perayaan Hari Raya Puasa tahun ini.
Hak kepenggunaan atau konsumerisme rakyat untuk mendapatkan
keperluan makanan dengan harga yang berpatutan mestilah dilindungi
dan dihormati. Sebarang tindakan peniaga atau pengeluar yang tidak
bertanggungjawab dan bertujuan mengeksploitasi pengguna mestilah
dicantas segera.
Dalam masa yang sama, sikap pengguna sendiri perlu berubah untuk
bersama-sama menyokong usaha membendung kenaikan harga menjelang
musim perayaan.
Budaya berbuka dan bersahur sama ada di dalam mahupun di luar rumah
dengan juadah yang berlebih-lebihan hanyalah satu bentuk pembaziran
yang turut menjadi antara penyumbang peningkatan harga makanan
menjelang musim perayaan umat Islam.
– MOHD ARIF ATAN,
Universiti Malaya.

No comments:
Post a Comment