Dewan Ekonomi Julai 2006
Penindasan dan Monopoli Bukan Cara Islam
Secara konsepnya, Islam telah menetapkan garis panduan pengurusan ekonomi bagi memastikan kesejahteraan hidup manusia dan seluruh makhluk di dunia. Ekonomi Islam bukan sekadar menguruskan dana atau kewangan, tetapi turut merangkumi pengurusan sumber tenaga manusia, sumber alam dan memakmurkan kehidupan di alam ini.
Semua sumber ekonomi bukan menjadi hak mutlak manusia, sebaliknya sekadar dipinjamkan kepada manusia untuk diuruskan. Sebab itu pengurusan sumber ekonomi perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pemiliknya, iaitu Allah yang menguasai seluruh alam ini. Hal ini mudah difahami kerana manusia sendiri adalah hambaNya.
Sebagai pengurus sumber, manusia dipertanggungjawabkan mengurus, menggunakan dan memanfatkan sumber ekonomi untuk kegunaan diri sendiri, keluarga dan pihak lain yang berhak memperolehnya. Kekayaan yang dimiliki bukan menjadi hak mutlaknya.
Sistem perekonomian Islam mengutamakan kesejahteraan hidup dan menolak sebarang ketidakadilan yang wujud disebabkan kerakusan mengejar kekayaan. Banyak individu dicela disebabkan kekayaan yang dimiliki. Peristiwa Qarun dibenamkan ke dalam bumi bersama-sama kekayaannya memberi peringatan agar manusia tidak bongkak dan terlalu mencintai kekayaan.
Segala kekayaan dan pendapatan yang diperoleh menerusi usaha yang dilakukan di dunia ini hanya sebagai pinjaman. Tidak ada orang yang dapat membawa harta yang dimiliki di dunia ini ke alam akhirat. Sebaliknya, manusia menuju ke alam akhirat sekadar berbekalkan amalan yang dilakukan dalam bentuk pahala dan dosa.
Sebab itu tidak berbaloi bagi seorang yang beriman melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat dalam pengurusan harta, semata-mata kerana sayang atau cintakan kekayaan. Kekayaan perlu dicari dan digunakan sebagai memegang amanah Allah agar manusia memakmurkan muka bumi.
Sesiapa yang berusaha mencari kekayaan dan kesenangan hidup di dunia kerana mematuhi tuntutan agama dan melakukan perkara yang disyariat, dialah orang yang beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. Allah S.W.T memerintahkan manusia mencari kebahagiaan hidup di akhirat, tetapi tidak melupakan kesenangan hidup di dunia.

No comments:
Post a Comment