Wednesday, June 13, 2007

UBAH TABIAT BERBELANJA

Info Kewangan
Disumbangkan oleh Administrator
Monday, 11 June 2007
Terakhir dikemaskini Monday, 11 June 2007
Ubah tabiat berbelanja

PERANCANGAN kewangan yang teratur dapat mengelakkan daripada berlaku pembaziran atau
berbelanja melebihi kemampuan. Malah Islam menggalakkan umatnya agar tidak melampaui batas dalam perbelanjaan
seharian kerana ia amalan yang jelas bertentangan dengan ajaran agama. Menurut pensyarah di Jabatan Pengurusan
Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Sharifah Azizah Haron,
kesejahteraan kewangan keluarga banyak dipengaruhi oleh amalan berbelanja individu. Antara tabiat utama yang
mengundang masalah kewangan keluarga adalah sikap kebendaan dan obses terhadap imej. Akibatnya, ada keluarga
sanggup membeli barangan yang di luar kemampuan seperti perabot mewah demi menjaga standard.
“Tidak kurang juga ada keluarga yang berbelanja mengikut gerak hati dan gagal menentukan keperluan. Jika
tabiat ini berterusan diamalkan, masalah kewangan tidak akan dapat diselesaikan walaupun selepas menikmati gaji yang
lebih tinggi. Jadi, kenaikan gaji bukanlah jalan penyelesaian utama dalam konteks ini,” kata beliau. Faktor-faktor
lain adalah tidak melaksanakan belanjawan isi rumah dan kurang faham tentang kewangan, menyebabkan kita tidak
mengetahui kos sebenar sesuatu pembelian kerana gagal mengkaji kos tersembunyi. Contohnya, harga kereta yang
dibayar tidak termasuk kos lain seperti insurans, petrol dan penyelenggaraan. Beliau mencadangkan agar setiap
keluarga meningkatkan kefahaman mengenai kewangan dalam keluarga melalui pembacaan atau seminar dan menilai
kembali motif di sebalik amalan kewangan keluarga. Contohnya, tunjukkan pendapatan anda kepada anak-anak dan
bagaimana ia diagihkan kepada pelbagai perbelanjaan dan simpanan keluarga. Ini membantu setiap ahli keluarga
memahami bebanan kewangan keluarga, jadi anak-anak dapat berfikir perbelanjaan yang bersifat keperluan dan
kehendak. Sesebuah keluarga perlu membuat belanjawan bulanan secara bertulis iaitu dengan menyenaraikan antara
barang keperluan dan kehendak. Secara tidak langsung, kita mampu berbelanja mengikut kemampuan dan
mengelakkan berbelanja mengikut sesuka hati “Dalam merancang perbelanjaan keluarga, perkara-perkara yang
perlu diutamakan adalah keperluan dan bukan kehendak. Jika kita memberi fokus kepada apa yang kita mahu dan
bukan apa yang kita perlu, maka kita tidak akan berpuas hati dengan jumlah pendapatan yang diperoleh dan tidak
mampu menguruskan kewangan dengan baik,” ujar beliau. Menurut Dr. Sharifah Azizah, langkah pertama yang
boleh diambil adalah mengenal pasti keperluan dalam dua bulan pertama dengan menilai semula setiap kategori
perbelanjaan setiap bulan dan memikirkan kaedah untuk mengurangkan belanja bagi setiap kategori. Makanan
menyumbang kepada kos perbelanjaan yang tinggi dalam kewangan keluarga. Selain mengubah penyediaan makanan
agar bersesuaian dengan pendapatan, pengguna disarankan mengambil peluang daripada jualan murah dengan
membeli dalam kuantiti yang banyak tetapi jangan berlebih-lebihan. Sebaik-baiknya dapatkan senarai barangan murah
menerusi katalog sebelum berbelanja. Konsep pasar tani lebih praktikal kerana pengguna boleh menawar harga di
samping memperoleh barangan yang lebih segar. Mereka juga boleh mewujudkan konsep kebun dapur di rumah yang
menanam sayuran seharian seperti serai, daun kari dan ulam-ulaman. Jika tiada kawasan untuk menanam, gunakan
kaedah tanaman dalam pasu. Di samping itu, kurangkan mengambil makanan ringan seperti kerepek kentang terutama
yang diimport kerana ia bukan makanan ruji rakyat Malaysia dan harganya juga mahal. Dengan mengelakkan makanan
sebegini, ia dapat membentuk pola pemakanan yang lebih sihat terutama untuk anak-anak. Sosialisasi Amalan
berbelanja anak-anak dan sikap mereka terhadap wang terbentuk pada usia kecil. Proses sosialisasi adalah proses anakanak
membentuk sikap, mendapat pengetahuan dan kemahiran tertentu untuk membolehkannya berfungsi sebagai
pengguna di pasaran dan mengurus kewangannya. Jelas Dr. Sharifah Azizah, sebagai ejen sosialisasi yang
berpengaruh, keluarga memainkan peranan yang penting dalam membentuk pandangan anak-anak tentang wang dan
mencorakkan gaya hidup dan pola penggunaan mereka yang akan dibawa sehingga dewasa. “Kaedah yang
boleh digunakan untuk mendidik anak-anak agar bersederhana sebenarnya bergantung kepada umur mereka. Dengan
kaedah yang sesuai, anak-anak yang berumur tiga atau empat tahun mampu memahami bagaimana mereka boleh
berusaha untuk mendapatkan sesuatu dalam hidup mereka dan menghargai wang,” katanya. Ibu bapa boleh
mendidik anak-anak mereka mengenai wang dengan membawa mereka pergi berbelanja dan tunjukkan harga barangan
tertentu. Terangkan bahawa barangan yang bukan keperluan tidak perlu dibeli dan ini dapat mengajar mereka
perbezaan antara barang keutamaan dan mewah. Bagi anak-anak yang menerima wang saku, ajar supaya mereka
tidak menghabiskan kesemuanya. Galakkan mereka melakukan amalan penjimatan seperti membawa bekal untuk
mengurangkan perbelanjaan wang saku dan selebihnya disimpan dalam tabung. “Sebenarnya ada pelbagai
program dan perisian yang ada di pasaran yang cuba membantu anak-anak belajar mengenai wang, contohnya buku
wang saku keluaran Bank Negara yang sesuai bagi anak-anak yang telah bersekolah belajar mengurus
kewangan,” ujar beliau. Mengulas mengenai cara berbelanja rakyat Malaysia, Dr. Sharifah Azizah berpendapat,
secara umumnya masyarakat masih belum berpandangan jauh dalam aspek kewangan. Malah, mereka semakin
cenderung kepada kebendaan. Oleh itu, sebahagian besar daripada mereka berbelanja mengikut perasaan, secara
berlebih-lebihan, membazir dan kadangkala di luar kemampuan. “Menurut laporan, kira-kira 31 daripada setiap
100 orang penduduk negara ini mempunyai kredit kad. Tanpa disiplin diri dalam aspek kewangan, tidak hairanlah jika
statistik menunjukkan pada 2005, jumlah hutang kad kredit adalah RM743.7 juta, meningkat dari RM559.3 juta pada
2004. Malah baru-baru ini didapati ramai yang muflis adalah di kalangan golongan muda yang berusia awal 30 hingga 40
tahun,” katanya. Tabiat berbelanja perlu diubah dengan memberi keutamaan kepada perkara yang lebih penting.
Ibu bapa mempunyai peranan yang penting dalam mendidik dan membentuk sikap yang baik tentang wang di kalangan
anak-anak bagi melahirkan generasi pengguna yang lebih bertanggungjawab.

- Zunaidah ZAINON

No comments:

Post a Comment