Friday, June 29, 2007

TIPS PEMBINAAN RUMAH MENURUT ISLAM

Subject: [cyberdigest] Pembinaan Rumah Menurut Islam

Assalammualaikum wbk.

Terlebih dahulu izinkan saya panjatkan rasa syukur dan puji-pujian ke
hadrat Allah swt. di atas restu dan izinNya yang mengatur dan memberi
kekuatan untuk terus menyumbang dan bersama-sama para sahabat yang
dirahmati. Selawat serta salam ke atas junjungan Nabi Muhammad ibni
Abdullah saw., kepada para ahli keluarganya dan para sahabat baginda,
para tabi'in dan tabi' attabi'in serta seluruh muslimin dan muslimat
yang dirahmati dan dikasihi Allah swt. Kepada semua penggerak wadah
egroups tercinta, saya doakan agar kalian terus-terusan mendapat
panduan, kerahmatan dan bantuan dari Allah swt. Tidak lupa juga salam
kerberkatan untuk semua sahabat yang lain yang mencintai akan kebenaran
dan memperjuangkan akan keadilan. Dan kepada sahabat yang bukan
beragama Islam, salam ceria dan sejahtera diucapkan.

Dengan izin moderator budiman. Berikut saya sisipkan beberapa panduan
pembinaan rumah di dalam Islam, Adab Berpindah Ke Rumah Baru dan juga
doa memagari rumah. Diharap membantu sahabat yang bertanya dan juga
kepada kita semua, insyaallah.


1. Konsep pembinaan rumah bercirikan Islam

RUMAH atau projek perumahan yang bercirikan Islam perlu diwujudkan
bertujuan untuk mendorong cara hidup Islam yang menyeluruh dapat
dipraktikkan.

Ciri-ciri perhiasan luaran seperti, kubah, ayat-ayat Al-Quran atau
motif-motif geometri Islam bukanlah kriteria yang akan menjadikan
sesuatu reka bentuk rumah kediaman itu "Islamik" atau tidak. Tetapi
terdapat beberapa aspek yang perlu diberi penelitian.

(i) Wujudkan sempadan yang nyata antara ruang tamu dan ruang keluarga
supaya "privacy" penghuni dapat dijamin dan aurat wanita dapat dijaga.
Sementara setiap bilik tidur dapat dimasuki oleh kaum wanita tanpa perlu
melalui para tetamu. Sekiranya ini tidak dapat dilakukan maka pintu
masuk ke bilik tidur mestilah terlindung dari pandangan umum dan ini
boleh dilaksanakan dengan mewujudkan satu "lobby" (ruang legar) yang
sekecilnya 1.2m kali 1.2m sudah memadai.

(ii) Wujudkan dua jalan keluar masuk iaitu, satu untuk umum dan satu
lagi khusus untuk penghuni rumah terutamanya kaum wanita.

(iii) Perlunya ruang yang terlindung untuk kaum wanita menjalankan
aktiviti-aktiviti luaran tanpa menimbulkan sebarang ketidak selesaan
kepada mereka selain daripada menghindar sebarang fitnah.

(iv) Orientasi rumah yang dibina perlulah mengambil kira arah kiblat
supaya dapat memberi ruang yang maksima untuk mendirikan solat berjamaah
agar aktiviti-aktiviti di dalam bilik air dapat dilakukan dengan
menghormati kiblat.

(v) Setiap rumah keluarga disarankan mempunyai paling minima tiga bilik
tidur. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah yang menyuruh umatnya
mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan apabila mereka
mencapai umur 10 tahun. Dengan itu perlu diwujudkan setiap bilik bagi
ibu bapa, anak lelaki dan anak perempuan.

(vi) Terdapat ruang yang terlindung untuk kaum wanita, ruang kerja dan
interaksi untuk kaum wanita dan kedudukan serta orientasi tandas dan
bilik air.

(vii) Cadangan bagi mewujudkan perumahan bercirikan Islam turut menggesa
penguatkuasa tempatan yang bertanggungjawab meluluskan permohonan
pembangunan menggalakkan pemaju-pemaju mengintegrasikan ciri-ciri
penggalak kepada cara hidup Islam di dalam reka bentuk projek-projek
perumahan.

(viii) Perlu disedari bahawa perumahan bercirikan Islam tidak hanya
patut dinilai dari segi reka bentuk tetapi sumber kewangan yang
memajukannya juga mestilah bebas dari unsur-unsur yang diharamkan oleh
Islam. Contohnya sebuah projek perumahan yang dibiayai oleh bank yang
melibatkan riba' tidak boleh diklasifikasikan sebagai perumahan yang
bercirikan Islam walaupun dari segi ciri-ciri reka bentuk ianya memenuhi
syarat-syarat yang ditetapkan.

(ix) Berdasarkan hadis Rasullulah s.a.w tentang mengasingkan tempat
tidur kanak-kanak lelaki dan perempan, rumah tiga bilik ini adalah satu
keperluan kepada rakyat. Dengan itu sekiranya rakyat tidak mampu akibat
dari kenaikan kos maka menjadi tanggungjawab kerajaan dan pemaju untuk
memastikan rakyat boleh mampu sama ada dengan memberi subsidi kepada kos
pembinaan seperti mengurangkan atau memberi pelepasan untuk cukai-cukai
keatas pelbagai bahan binaan yang digunakan, memanjangkan jangkamasa
pembayaran balik dan sebagainya.

Kriteria-kriteria yang dinyatakan lebih kepada konsep perumahan yang
ideal oleh kerana kebaikan yang ada pada Islam itu adalah universal dan
boleh dimanfaatkan untuk semua bangsa.

Artikel di atas adalah hasil perbincangan meja bulat bertajuk "Konsep
Perumahan Yang Bercirikan Islam Menyeluruh" pada program Wacana
Perumahan Islam yang diadakan baru-baru ini.


Oleh ISKANDAR ABDUL SAMAD


2. Adab Berpindah Ke Rumah Baru

oleh Ustaz Mohd Murat Md Aris
Pegawai Perhubungan Awam MUIS


SETIAP kita akan berasa ghairah, gembira dan bersyukur apabila berpindah
ke rumah baru. Berbagai persiapan dibuat, terutama sekali di dalam
mengubah-elok rumah agar ia kelihatan luas, selesa, kemas dan cantik di
pandang - dalam erti kata lain, mahu rumahnya indah bagaikan 'istana'!

Dalam pandangan Islam, ia bukanlah satu perkara yang bersalahan bagi
seseorang itu memiliki rumah yang besar dan cantik, asal saja
perbelanjaan untuk menghiasinya tidak berlebihan sehingga kepada
peringkat melampau atau membazir. Soalnya, apakah ciri-ciri yang harus
diberi pertimbangan?

Sebagai orang Islam, kita harus sesuaikan setiap apa yang kita lakukan
supaya berlandaskan pada ajaran Islam. Antara ciri-ciri yang boleh
diambil kira ialah:

* luas, bersih dan kemas
* terpelihara aurat si penghuni (umpamanya kedudukan pintu bilik
tidur dan tandas)
* ruang tamu yang memisahkan di antara lelaki dan wanita
* ruang belajar dan perpustakaan kecil yang selesa, dan sebagainya

Sekiranya berpeluang untuk memilih unit rumah yang akan dibeli, mungkin
beberapa faktor luaran dan dalaman lain boleh diambil kira, termasuklah
di antaranya:

* kedudukan bilik-bilik di bahagian dalam rumah tidak terdedah depada
penglihatan orang yang lalu lalang di luar, terutama sekali tingkap
bilik dan dapur
* usahakan, jika boleh, agar dapat jiran yang mententeramkan,
sebagaimana sepotong kata-kata hikmat yang masyhur di kalangan
kita: "Lihatlah dahulu siapakah yang bakal menjadi jiran sebelum
memilih rumah".

Ketika berpindah rumah pula, ramai di antara kita yang mungkin tidak
tahu apakah ynag baik dilakukan ketika mereka pertama kali memasuki
rumah tersebut.

Berbagai cara yang dilakukan oleh masyarakat Islam kita. Ada yang terus
mendiami rumah itu dan kemudian mengadakan jamuan dengan membaca doa
selamat. Ada yang menkhatam Quran (membaca seluruh Al-Quran secara
bergilir). Ada pula yang mengadakan 'house warming'. Tulisan ayat
Al-Quran juga biasa digantung di pintu dan dinding rumah.

Terdapat juga segilintir masyarakat kita yang masih mengamalkan adat
lama dengan mengadakan upacara 'menyemah rumah' yang kadangkala tidak
sesuai dengan ajaran agama. Ada yang meletakkan sesuatu barang atau
'tangkal' di atas pintu rumah. Misalnya daun-daun berduri, belangkas
atau kuda laut.

Antara perkara yang sepatutnya diamalkan, sesuai dengan ajaran agama dan
sunnah Rasulullah saw, apabila memasuki rumah baru, termasuklah:

* Azan Para ulama berpandangan bahawa adalah baik bagi kita
melaungkan azan ketika pertama kali memasuki rumah baru. Ia juga
baik bagi rumah yang telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh
sesiapa; ada yang berpendapat sekiranya ia dikosongkan lebih
daripada empat puluh hari; ada pula yang berpandangan sekiranya ia
di kosongkan lebih daripada lima belah hari.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw pernah memberitahu bahawa sekiranya
sesebuah rumah itu terlalu lama dikosongkan (tanpa penghuni) ianya akan
dimasuki sejenis makhluk halus (jin yang dikenali dengan Al-'Ammar) yang
suka tinggal di rumah yang tidak berpenghuni. Dalam hadis yang lain
pula, Baginda saw bersabda yang maksudnya: "Ketika azan dilaungkan,
syaitan akan melarikan diri......"

* Membaca Surah Al-Baqarah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu
Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: "Jangan la
kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya untuk tidur),
sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah
Al-Baqarah".


Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah saw juga menggalakkan agar:

* Memperbanyak salat dan membaca Al-Quran di dalam rumah Baginda
bersabda yang bermaksud "Sinarilah rumahmu dengan memperbanyak
salat dan membaca Al-Quran"
(Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Sedapat mungkin, digalakkan juga agar dilaungkan azan pada setiap waktu
salat dan bersalat jemaah.

2. Doa Memagar Rumah

Sebagai orang Islam, kita juga digalakkan beradab ketika memasukki
rumah, tidak kira sama ada rumah yang kita duduki itu rumah yang baru
atau rumah lama dengan berdoa memohon perlindungan dari Allah swt. untuk
dijauhkan daripada gangguan yang tidak elok seperti gangguan syaitan
mahupun sihir.

Diharap sisipan di atas boleh memberikan sesuatu yang baik kepada kita,
insyaallah.

Wassalam

Shamsul Kamal bin Main
09:19 AM

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum, disini saya ingin bertanya,kalau rumah yang kita beli tu yang empunya rumah itu bukan orang islam.tapi rumahnya sudah ditinggalkan lebih dari 5 tahun.apakah rumah tersebut kene juga disamak.dan klu boleh saya akan memasuki rumah tersebut dalam bulan julai ini.bolehkah tuan memberikan tarikh dan hari yang baik untuk saya berpindah rumah tsb.harab berikan jawaban.dengan ini saya ucapkan ribuan terima kasih.

    ReplyDelete